SAYANGI BUMI ANDA

SAYANGI BUMI ANDA
Kekalkan kehijauan..memberi 1,000 kebaikan kepada kita..

February 08, 2011

Pembuangan bayi dan penjualan bayi

"PEMBUANGAN BAYI ADALAH SUATU JENAYAH"


Isu ini telah lama diketengahkan oleh banyak pihak. Ada yang menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal ianya adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan.
Inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masakini. Maksiat dan aktiviti seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada diantara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT-IPT yang memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri.
  
    Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui.
   
    Apakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi di zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak juga dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.
    Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi
   
    Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".

  
    Namun apakah faktor yang menyebabkan berlakunya gejala seperti ini? Ada yang berpendapat ianya bermula dari rumah lagi. Mungkinkah didikan agama dari ibu bapa yang kurang terhadap anak-anak mereka atau terlebih didikan? Tetapi ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini. Ini kerana ada diantara ibu bapa yang memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa dan anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa akan dilupakan sedikit demi sedikit. Maka anak-anak mula bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa.
   
    Mungkin juga ianya berpunca dari kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja. Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, penyebaran VCD dan gambar lucah didalam internet juga menjadi punca yang turut mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat. Namun semuanya datang dari diri remaja itu sendiri samada mereka ingin memilih jalan yang betul atau tidak. Ini kerana diri sendiri sahaja yang mampu megubah segalanya.
   
    Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka. Ini kerana gejala pembuangan bayi ini  adalah satu kesalahan yang amat kejam dan lebih kejam lagi dari perbuatan haiwan. Sedangkan haiwan juga mempunyai perasaan kasih sayang terhadap anak-anaknya sehingga sanggup mati demi anak. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-A'araf ayat 179:
Maksudnya:
"Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan manusia,mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan allah) dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".
Oleh itu, renung-renungkanlah..........................


Disediakan oleh
Bahagian Dakwah,
Jabatan Agama Islam Selangor





ARKIB : 21/02/2010
Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


Sejak akhir-akhir ini, negara digemparkan dengan beberapa berita yang amat memeranjatkan semua pihak iaitu isu pembuangan bayi. Gejala ini amat devian kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan tidak boleh diterima dalam masyarakat kita. Ada antara bayi yang ditemui yang masih hidup dan ada yang sudah meninggal dunia dan hampir semua yang ditemui berada dalam keadaan yang amat menyedihkan. Seperti tiada kesedaran diri, bayi yang tidak berdosa terus menjadi mangsa keadaan. Tidak kira apa pun status bayi tersebut, isu ini perlu dibendung. Pembuangan bayi adalah satu jenayah walaupun terjadi akibat kehamilan tidak diingini. Ramai remaja yang mengandung luar nikah terpaksa membuang bayi mereka kerana terdesak, malu dan takut akan akibat yang bakal ditanggung.
Menurut Pengarah Pusat Kokurikulum Universiti Putra Malaysia (UPM) dan pakar motivasi, Profesor Madya Dr. Mohammad Shatar Sabran, terdapat pelbagai sebab mengapa dan kenapa berlakunya peningkatan kes pembuangan anak.
Sebab kes ini boleh dibahagikan kepada tiga komponen utama iaitu sosial, spiritual atau rohani dan era globilasasi dan pembangunan teknologi.
"Faktor sosial merupakan salah satu daripada penyumbang utama berlakunya kes buang anak ini. Antaranya, pergaulan bebas tanpa had terutamanya di antara lelaki dan wanita. Selain itu, terikut dengan budaya barat yang yang mengamalkan seks itu adalah sebahagian daripada proses percintaan. Golongan ini juga percaya alat-alat terkini seperti kondom dan pil boleh mengelakkan daripada mengandung jika melakukan hubungan seks," katanya.
Di samping itu, ibu bapa tidak mengambil berat tentang anak-anak mereka hingga menyebabkan mereka bebas berbuat apa sahaja tanpa sebarang pemantauan.
Dr. Mohammad Shatar menambah, didikan agama yang kukuh adalah dinding terbaik untuk mengelakkan diri remaja daripada sebarang kes jenayah dan salah laku. Namun, ilmu agama amatlah tipis dalam kalangan remaja pada hari ini hingga menyebabkan kes pembuangan anak tidak menjadi kesalahan kepada mereka.
Ilmu agama
Justeru itu, kurang ilmu agama menjadi faktor golongan ini tidak dapat menilai halal dan haram.
"Era globalisasi dan pembangunan teknologi (ICT)
pada hari secara langsung atau tidak telah menyumbang kepada kes pembuangan anak. Jika kita kaji, kemudahan telefon bimbit telah menyebabkan remaja boleh berinteraksi dengan sesiapa sahaja pada bila-bila masa untuk sebagai titik permulaan kepada kes yang tidak bermoral ini. Kesukaran membuat pemantauan oleh ibubapa terhadap penggunaan internet juga menyumbang kepada gejala kes ini," jelasnya.
Secara tidak langsung, kes pembuangan bayi ini mempengaruhi kesihatan sosial pada hari ini.
Dari sudut perubatan, kadar kematian bayi yang lebih tinggi akan menyebabkan penjagaan perubatan yang tidak sempurna. Ini disebabkan kesihatan ibu yang terjejas akibat kehilangan darah, jangkitan kuman dan kecederaan sewaktu bersalin.
Selain itu, kes ini turut memberi kesan kepada psikologi dan sosial wanita yang melahirkan bayi tersebut iaitu murung, hilang keyakinan diri, rasa bersalah, resah atau gelisah. Bukan itu sahaja, ia akan mewujudkan masalah emosi dan hubungan interpersonal dengan terputusnya hubungan kekeluargaan dan rakan-rakan.
"Terlalu banyak kesan psikologi dan sosial kepada masyarakat. Antaranya, kemajuan dan kemakmuran masyarakat di masa hadapan akan terjejas. Pesan Iman Al-Ghazali, jika kamu mahu melihat senario masa depan masyarakat dan negara kamu, lihatkan senario remaja masa kini. Jika mereka hebat maka akan hebatlah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan, tetapi jika remaja kini rosak akhlaknya dan lemah mindanya. Maka akan rosaklah masyarakat dan negara kamu di masa hadapan," jelasnya.
Dr. Mohammad Shatar menambah, psikologi remaja yang terlibat dengan kes tersebut tidak akan tenang dan tenteram.
Perasaan bersalah yang datang di kemudian hari akan memberikan tekanan psikologi dan sosial yang berat serta tumpuan kepada kerjaya akan terjelas.
Secara umum, remaja pada hari ini tidak faham dan mengerti secara mendalam erti kasih sayang yang sebenarnya. Justeru itu, jika mereka berkahwin, perkahwinan itu jarang yang kekal lama kerana mereka tidak faham apakah yang dimaksudkan dengan kasih sayang itu.
"Maksud kasih sayang sesama manusia ialah menyayangi manusia lain sama seperti kita menyayangi diri sendiri. Selain itu, meletakkan diri kita dalam diri mereka, jika kita jadi bayi tersebut apakah perasaan kita. Dari segi psikologi, cinta remaja tidak diikuti dengan tanggungjawab," jelasnya.
Beliau menjelaskan, teori sosial mengenai cinta di bawah umur 13 tahun, percintaan yang berlaku hanyalah berdasarkan kepada kecantikan. Manakala, umur 13 hingga 25 tahun, percintaan yang berlaku ketika ini adalah berdasarkan trend iaitu orang lain bercinta kita nak bercinta dan jemu dengan pasangan masing-masing, akan dicuba pasangan lain.
Sementara itu, bagi golongan berumur 25 tahun ke atas, percintaan yang sering diikuti dengan tanggungjawab.
Dalam membantu masyarakat pada hari ini untuk membendung kes pembuangan bayi, mereka perlu menerapkan nilai-nilai murni dalam kehidupan agar kepincangan dalam institusi sosial tidak berlarutan. "Golongan dewasa juga perlu menunjukkan teladan yang baik kepada golongan remaja kerana golongan inilah yang banyak terlibat dengan isu pembuangan bayi. Langkah ini adalah bertujuan untuk mengelakkan golongan ini berpengaruh dengan keadaan sekeliling. Selain itu, kerjasama masyarakat dengan kerajaan turut memainkan peranan dalam usaha mencapai masalah sosial 'sifar'. Walaupun ia mungkin sukar dicapai tetapi melalui kerjasama di antara masyarakat dan pihak berkuasa mampu menyelesaikan masalah buang anak ini," ujarnya.
Kesedaran
Dr. Mohammad Shatar menyarankan masyarakat memberi kesedaran untuk membendung gejala tidak sihat ini. Misalnya, kerajaan boleh melaksana undang-undang terhadap remaja yang berdua-duaan di tempat yang kondusif untuk seks bebas. Selain itu, masyarakat perlu membantu kerajaan dalam melaksanakan agenda ini. Aktiviti yang mencurigakan perlu dibuat laporan kepada pihak yang bertanggungjawab untuk membanteras mereka yang terlibat.
" Ibu bapa juga perlu peka dan mengambil berat terhadap perkembangan dan apa yang dilakukan oleh remaja mereka. Selain itu, guru perlu memantau kehadiran pelajar dalam kelas. Laporkan kepada ibu bapa jika anak mereka tidak hadir kelas. Ini kerana anak-anak sering melencong ke tempat lain walaupun berpakaian sekolah dari rumah," katanya.
Jika ada remaja yang pernah terlibat dengan masalah ini, kita perlu memberi ruang penambahbaikan untuk kembali ke pangkal jalan.
"Golongan ini perlu bertaubat dan menyesal dengan sepenuhnya. Mereka yang pernah terbabit boleh memberi kesedaran kepada remaja lain mengenai implikasi yang dihadapi. Ingatlah, kesilapan hari ini bukanlah kesilapan yang berkekalan. Mohon ampun dan maaf kepada Allah dan ibu bapa," ujarnya.


DOKTOR JUAL BAYI. 

KUALA LUMPUR: Dua bayi termasuk seorang bayi perempuan berusia seminggu diselamatkan daripada dijual dalam Ops Pintas Sayang di sebuah klinik swasta di Jalan Ipoh, Sentul, di sini, kelmarin.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala lumpur, Datuk Ku Chin Wah, berkata serbuan berkenaan dilakukan Unit Anti-pemerdagangan Orang Bukit Aman dibantu Bahagian Siasatan Jenayah Kuala Lumpur (D7).

“Serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu turut menahan pemilik klinik yang juga seorang doktor bersama isteri dan anak perempuannya serta tiga jururawat. Polis turut menemui dua bayi iaitu seorang bayi perempuan berusia seminggu dan seorang bayi lelaki berusia empat bulan.
“Semua mereka yang ditahan dan disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007. Mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Kegiatan sindiket penjualan bayi oleh klinik yang dimiliki seorang doktor bergelar Datuk itu terbongkar apabila polis menahan sepasang suami isteri yang ingin membeli bayi itu sejak sebulan lalu.

Dalam serbuan yang diketuai Asisten Superintendan Nordin Ibrahim itu, polis merampas sijil lahir bayi perempuan berusia seminggu itu dan wang tunai RM21,000 dipercayai dibayar suami isteri terbabit.
Difahamkan, ibu kandung bayi itu berketurunan Melayu, manakala bapanya seorang warga Pakistan manakala klinik itu dipercayai menjalankan kegiatan menjual bayi sejak 10 tahun lalu.

Klinik itu dipercayai memalsukan maklumat ibu bapa kandung bayi terbabit bagi memudahkan urusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
membolehkan pasangan suami isteri terbabit mendapatkan sijil kelahiran bayi itu di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).




Kes jual bayi: Hospital ada rekod buruk


2010/11/04

Kementerian Kesihatan sedang pantau, siasat perkhidmatan

KUALA LUMPUR: Hospital swasta di Jalan Ipoh di sini yang diserbu polis kerana didakwa menjual bayi memang dalam siasatan dan penilaian Kementerian Kesihatan kerana mempunyai rekod perkhidmatan buruk.
Sumber memberitahu Berita Harian, hospital itu juga gagal memenuhi syarat mengemukakan permohonan untuk memperbaharui lesen operasinya enam bulan sebelum tamat tempoh.
Beliau berkata, pihaknya mungkin tidak akan mempertimbangkan permohonan rayuan pihak hospital berkenaan untuk memperbaharui lesennya.

“Pendedahan kegiatan penjualan bayi di hospital swasta berkenaan mengukuhkan lagi siasatan dan penilaian jawatankuasa rayuan yang dilakukan terhadapnya dan jika prestasi perkhidmatannya menjurus kepada pelbagai aspek menyalahi Akta Hospital Swasta 1971, tindakan setimpal akan dikenakan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Kelmarin, Berita Harian mendedahkan Unit Anti Pemerdagangan Orang Bukit Aman menyerbu hospital berkenaan dan menahan enam individu termasuk pemilik hospital bergelar Datuk, isteri dan anaknya serta tiga kakitangan hospital.

Penahanan dibuat selepas urusan menjual bayi perempuan berusia seminggu di hospital itu kepada satu paisteri dengan harga RM21,000.
Dalam kejadian itu, polis juga berjaya menyelamatkan seorang bayi lelaki berusia kira-kira empat bulan. Kedua-dua bayi itu diletakkan di sebuah pusat perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberi amaran akan mengenakan tindakan tegas terhadap hospital kerajaan atau swasta dan doktor yang terbabit dalam sebarang kegiatan menyalahi etika.

“Kementerian Kesihatan memandang serius kes penjualan bayi membabitkan sebuah hospital swasta dan menasihatkan orang ramai berhati-hati agar tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Tiong Lai berkata, ketika ini, pihaknya sedang meneliti kes yang didedahkan baru-baru ini untuk mengesan sebarang tindakan hospital berkenaan yang menyalahi Akta Hospital Swasta.

“Mengikut akta itu, perkhidmatan menggugurkan kandungan juga boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat supaya lebih prihatin dan peka bagi memastikan tidak terjebak dalam kegiatan memudaratkan mereka, selain menyalurkan maklumat kepada pihak yang berwajib.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...