SAYANGI BUMI ANDA

SAYANGI BUMI ANDA
Kekalkan kehijauan..memberi 1,000 kebaikan kepada kita..

February 08, 2011

Bincangkan perubahan-perubahan perlembagaan dari tahun 1946 hingga tahun 1957?

Antara tahun 1941 hingga 1945, Jepun telah memerintah Tanah Melayu. Pendudukan Jepun telah meninggalkan berbagai kesan terhadap Tanah Melayu sama ada dari segi politik, sosial dan ekonomi. Pada 15 Ogos 1945, Jepun telah menyerah kalah. Sebelum British balik ke Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) telah memerintah secara langsung selama 2 minggu dan dikenali sebagai “Bintang Tiga”. Pada 22 Januari 1946, Parlimen British telah mengemukakan satu kertas putih yang mengandungi cadangan penyatuan politik Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union. Selepas balik ke Tanah Melayu lebih kurang 4 bulan, kertas putih ini dikuatkuasakan pada 1 April 1946 dan Edward Gent telah dilantik menjadi Gabenor Malayan Union yang pertama.
 
Dalam perlembagaan Malayan Union, terdapat dua fasal utama iaitu fasal pentadbiran dan fasal kerakyatan. Dalam fasal pentadbiran, Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Pulau Pinang dan Melaka disatukan di bawah satu unit politik yang dikenali sebagai Malayan Union. Singapura diasingkan kerana penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan yang strategic dan pelabuhan bebas. Ia menjadi wilayah jajahan yang berasingan dan ditadbir oleh Gabenor. Kedudukan Sultan-sultan dikekalkan tetapi mereka hanya berkuasa dalam hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat orang Melayu. Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal tempatan tetapi ia diletakkan di bawah kawalan langsung kerajaan pusat. Tanah Melayu akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dan ia ditadbir oleh seorang Gabenor yang berada di Kuala Lumpur. Gabenor akan menjalankan tugas pentadbirannya dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan Majlis Perundangan Pusat. Selain itu, Majlis Penasihat juga ditubuhkan. Seorang Gabenor Jeneral dilantik untuk mengawasi pentadbiran Malayan Union, Singapura dan Borneo.
 
Berhubung dengan fasal kerakyatan, warganegara akan diberi kepada orang yang lahir di Tanah Melayu atau Singapura. Sekiranya seseorang itu dilahirkan di luar Tanah Melayu, beliau akan diberi taraf warganegara sekiranya ibu atau bapa ialah warganegara Malayan Union. Bagi orang yang tinggal 10 tahun daripada 15 tahun yang terdahulu sebelum 15 Februari 1942 di Tanah Melayu, taraf warganegara juga diberi kepadanya. Bagi orang-orang yang tidak memenuhi syarat di atas, beliau boleh memohon menjadi warganegara selepas tinggal di Tanah Melayu selama 5 tahun.
 
Pengenalan Malayan Union ditentang oleh orang Melayu kerana cara Harold Mac Michael untuk mendapat tandatangan Sultan. Selain itu, cadangan perlembagaan yang menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan telah dijadikan alasan penentangan. Orang Melayu juga menentang bahawa hak istimewa orang Melayu terjeja dan syarat kerakyatan yang longgar diberi kepada orang bukan Melayu. Mereka juga tidak berpuas hati kerana dalam menggubal rangka perlembagaan, mereka tidak dilibatkan.
 
Akibat penentangan orang Melayu dan perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D. Grammant dan D.R. William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada laporan mereka, mereka bersetuju membubarkan Malayan Union.
 
Pada 25 Julai 1946, Jawatankuasa Kerja telah ditubuhkan. Ia terdiri daripada 6 pegawai British, 4 wakil Sultan dan 2 wakil UMNO untuk merangka satu perlembagaan yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu, khususnya yang sesuai bagi orang Melayu. Orang bukan Melayu tidak bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa tersebut. Mereka bimbang jawatankuasa ini akan merangka satu perlembagaan baru yang merugikan mereka. Namun begitu, jawatankuasa itu tetap beroperasi dan berjaya mengemukakan laporan mereka pada 11 Disember 1946 yang mengandungi draf perlembagaan bagi penyatuan politik yang baru yang dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu.
 
Draf perlembagaan persekutuan yang digubal dibantah oleh PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dan AMCJA (All Malayan Council of Joint Action). British tidak berminat dengan bantahan mereka. Pada 21 Januari 1948, raja-raja Melayu dan wakil Kerajaan British menandatangani persetujuan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu. Pada 1 Februari 1948, Persekutuan Tanah Melayu dilahirkan secara rasminya.
 
Mengikut perlembagaan baru ini, Singapura masih diasingkan dari Tanah Melayu, tetapi Tanah Melayu beralih menjadi negeri lindungan British. Pentadbiran persekutuan diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi (PJT). PJT dibantu oleh Majlis Perundanga Persekutuan yang terdiri daripada 3 anggota ex-officio, 9 Menteri Besar, 2 wakil Melaka dan Pulau Pinang, 11 ahli rasmi dan 50 orang ahli tak rasmi dan Majlis Mesyuarat Kerja yang terdiri daripada 3 anggota ex-officio, 4 ahli rasmi dan sekurang-kurangnya 5-7 orang ahli tak rasmi. Majlis Mesyuarat Raja-raja ditubuhkan dan dianggotai oleh 9 orang Raja Melayu. Kekuasaan Sultan dikekalkan. Baginda akan menjalankan pentadbiran dengan Majlis Mesyuarat Negeri. Hak istimewa orang Melayu juga dikekalkan.
 
Bagi fasal kerakyatan, mereka yang lahir di Tanah Melayu mesti bermastautin selama 8 tahun dari tempoh 12 tahun yang terdahulu. Bagi mereka yang lahir di luar Tanah Melayu, mereka mesti bermastautin selama 15 tahun daripada 20 tahun yang terdahulu. Umur minimum menjadi warganegara ialah 18 tahun. Mereka mesti tahu bercakap dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Mereka juga dikehendaki mengangkat sumpah taat setia kepada Tanah Melayu.
 
Langkah Kerajaan British menubuhkan persekutuan ini adalah untuk menyiapkan Tanah Melayu ke arah berkerajaan sendiri. Walau bagaimanapun, pemberontakan PKM telah menghalang usaha ini. Apabila keadaan mulai reda, usaha itu diteruskan. Pada tahun 1951, Sistem Ahli diperkenalkan di mana 9 rakyat tempatan yang menjadi ahli Majlis Perundangan Persekutuan dilantik untuk mengetuai 9 jabatan kerajaan. Antara mereka ialah Dato’ Onn Bin Jaafar mengetuai Jabatan Hal-ehwal Dalam Negeri dan E.E.C. Thuraisingam mengetuai Jabatan Pelajaran.
 
Mulai tahun 1951, pilihanraya perbandaran diadakan. Pada 1 Disember 1951, Pilihanraya Perbandaran Pulau Pinang diadakan. Dalam pilihanraya ini, parti radikal memenangi 6 kerusi, Parti Buruh 2 kerusi dan UMNO 1 kerusi. Pada 16 Februari 1952, Pilihanraya Perbandaran Kuala Lumpur diadakan. UMNO-MCA memenangi 9 kerusi, IMP (Independent Malaya Party) 2 kerusi dan bebas 1 kerusi. Seterusnya, pada 27 Julai 1955, Pilihanraya Umum yang pertama diadakan. Perikatan UMNO-MCA-MIC telah memenangi 51 kerusi dan PAS satu kerusi. Tunku Abdul Rahman telah dilantik menjadi Ketua Menteri. Sebuah jemaah menteri yang terdiri daripada 6 orang Melayu, 3 Cina dan 1 India telah dibentuk.
 
Seterusnya, perjuangan kemerdekaan dimulakan. Rundingan Baling telah diadakan untuk mengatasi masalah PKM tetapi rundingan ini gagal. Seterusnya, pada 6 Jun 1956, rombongan kemerdekaan yang diwakili oleh Parti Perikatan dan diketuai oleh Tunku Abdul Rahman berangkat ke London untuk merundingkan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Rundingan ini dijalankan dari 18 Januari hingga 8 Februari 1956 dan dipengerusikan oleh Lord Lennox Boyd. Hasilnya, British bersetuju memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Bagi merangka perlembagaan baru bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka, Suruhanjaya Reid ditubuhkan. Suruhanjaya ini diketuai oleh Lord Reid dan anggotanya terdiri daripada hakim negara Komanwel, iaitu Ivor Jenning (Britain), William Mackel (Australia), B. Malik (India) dan Hakim Abdul Hamid (Pakistan). Pada 31 Ogos 1957, Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dilahirkan.
 
Selepas merdeka, Pilihanraya Umum Pertama telah diadakan pada tahun 1959. Dalam pilihanraya ini, Parti Perikatan memperolehi kemenangan yang besar. Seterusnya, pada 16 September 1963, satu persekutuan baru yang dikenali sebagai Malaysia ditubuhkan. Persekutuan baru ini menggabungkan Sabah, Sarawak dan Singapura serta Tanah Melayu. Tetapi pada tahun 1965, Singapura menarik diri daripada Persekutuan Malaysia.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...